Tuesday, October 16, 2012
Selayang pandang
Di dalam renyai hujan aku terus meluncur menuju pulang ke rumah.Hati kecil sedikit mengeluh mengenangkan menempuh kebasahan rahmat Allah dan kesesakan jalanraya.Dengan keredhaan yang tinggi terus juga aku gagahkan.
Lenjun,kuyup.Itu sahaja yang bermain-main dikotak fikiran sambil mata fokus malar memerhati jalan yang tampak samar dalam rintik hujan.Degup jantung makin rancak bila mana perlu bergadai nyawa memotong jentera besar yang berkongsi denai yang sama menuju destinasi berbeza.
Keluh hati menjadi tenang bila memikirkan perjuangan perjalanan ini adalah daripada tempat mencari rezeki.Penat lesu badan,letih kuyu mata,terus hilang serta merta bila membayangkan keluarga tercinta menanti di teratak sewa.
Kadang terfikir pabila aku sedang menyusuri jalan ini.Aku disirami rahmat Allah yang tak semua ciptaanNYA nikmati.Mendekatkan aku dengan kesegaran oksigen dalam merentasi lambaian pepohon tepian lebuhraya yang menyedut segala karbon dioksida.
Kesyukuran dipanjatkan sebaik sahaja selamat tiba.Gugusan kunci ditarik.Sekali-sekali mata terenjis bekas air hujan yang melekat di topi keledar.Beg galas dijatuhkan dari pautan bahu.Kasut yang separa basah diteduhkan agar tidak basah sepenuhnya.
Ucapan salam dan langkah pertama kaki kanan masuk ke rumah.Tampak wajah mama lega melihat anakanda sampai dengan selamat.Capai tuala kesat ke muka.Buka tudung saji lihat juadah siang tadi.Segalanya nampak enak tatkala kesejukan menjerat perut yang senak.
Apapun dugaannya,tetap aku tempuh demi mencari sesuap nasi.Kadang tak cukup aku tak mengeluh,kadang merungut cekal aku usahakan.Demi untuk membahagiakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment